Penulisan saya pada kali ini adalah berkisahkan kepada ketidakseimbangan dalam sesuatu gerakan mahasiswa. Saya klasifikasikan gerakan mahasiswa sebagai apa-apa sahaja gerakan yang diterajui oleh mahasiswa seperti Majlis Perwakilan Pelajar/Majlis Perwakilan Mahasiswa, persatuan-persatuan pelajar, NGO-NGO mahasiswa dan sebagainya. Penulisan ini adalah berpandukan kepada pengalaman saya ketika berada dalam gerakan mahasiswa yang telah saya lalui suatu ketika dahulu. Bukanlah penulisan ini bertujuan untuk bermegah diri dengan ilmu gerakan mahasiswa, namun hanya berkongsi ilmu dan juga kesilapan diri yang telah dilalui.Beberapa tahun dalam memimpin gerakan mahasiswa. Saya telah dapat membuat beberapa kesimpulan yang hendak saya kupas dalam penulisan ini. Sudah semestinya, pengalaman dan juga pemerhatian saya mungkin akan berbeza dengan pemimpin gerakan mahasiswa yang lain. Namun, ilmu dan juga pengalaman ini sedikit sebanyak  dapat memberi buah fikiran kepada sesiapa yang ingin memimpin sesuatu gerakan mahasiswa.

Sesuatu gerakan mahasiswa selalunya mempunyai matlamat dan juga manhaj yang tersendiri.Maka kita tidak boleh untuk menafikan perjuangan sesuatu gerakan mahasiswa kerana masing-masing punya idealism yang tersendiri. Namun banyak gerakan mahasiswa yang ‘kecundang’ akibat daripada ketidakseimbangan teknikaliti dalam gerakan mereka. ‘Kecundang’ itu merujuk kepada gerakan yang mempunyai masalah dalaman yang meruncing, gerakan yang tidak bergerak kehadapan, gerakan yang tidak nampak menyumbang, dan sebagainya. Gerakan yang ‘kecundang’ mempunyai  sebab musababnya. Namun apa yang saya hendak kupas adalah daripada sudut ketidakseimbangan komposisi dan fahaman tugas dalam gerakan mahasiswa

Sering kali gerakan mahasiswa mempunyai masalah dalaman. Antaranya, bergaduh sesama ahli gerakan. Sebab pergaduhan adalah sesama ahli mempertikaikan tugas masing-masing. Si A kata si B tidak buat kerja, si C kata si D banyak cakap tapi kerja tidak buat. Si E pula kata “aku je yang buat kerja dalam projek ini”. Lama-kelamaan gerakan ini akan menjadi tegang dan penuh dengan konflik dalaman. Keindahan dan keseronokan dalam gerakan akan bertukar kepada mimpi ngeri dan sengsara yang berpanjangan. Ini adalah contoh kecundangan gerakan mahasiswa pada peringkat dalaman.

Satu lagi kecundangan yang menghantui kebanyakkan gerakan mahasiswa adalah gerakan mereka tidak kehadapan dan tidak nampak berfungsi sebagaimana yang sepatutnya. Tidak kehadapan ini bermaksud gerakan yang tidak punya perubahan dalam suasana masyarakat yang berubah-ubah. Maknanya, gerakan ini masih menggunakan kaedah yang sama, program tahunan yang sama(program yang tidak menarik minat) atau strategi yang sama sehingga menyebabkan mahasiswa tidak berminat untuk bersama-sama dengan gerakan kita.

Akar kepada masalah-masalah ini adalah ketidakseimbanagan posisi dan juga pemahaman posisi sesorang dalam gerakan. Dalam gerakan mahasiswa yang ideal. Perlu ada tiga posisi. Yakni Stategist, Manager , dan Worker.Posisi Strategist ini selalunya akan diambil oleh mereka yang banyak berfikir dan boleh menjangkau idea-idea yang bersifat futuristk kepada gerakan. Dalam erti kata lain, mereka yang bergelar strategist ini akan mempunyai idea-idea bernas untuk dikongsikan dalam gerakan. Selalunya, mereka yang bergelar strategist ini juga akan banyak memberikan penyelesaian-penyelesaian kepada masalah yang dihadapi, mereka juga nampak peluang-peluang yang baik untuk memajukan gerakan dan sebagainya. Namun, ketidakseimbangan dan kecundangan akan berlaku jika semua orang dalam gerakan mahu menjadi Strategist. Dimana semua orang dalam gerakan hanya boleh memberikan pandangan dan idea sahaja namun tidak mampu untuk melaksanakan idea-idea itu. Lagi menyedihkan jika keseluruhan masa hanya tertumpu untuk berbahas dan bergaduh tentang idea-idea sahaja. Tetapi jika tidak ada posisi Strategist maka gerakan mahasiswa akan mundur dan tidak mampu mengharungi perubahan-perubahan sekeliling yang memerlukan pembaharuan.

Mereka yang bergelar Worker adalah mereka yang bekerja untuk melaksanakan idea-idea yang diberikan oleh Strategist. Selalunya Worker adalah mahasiswa yang hanya menerima arahan dan mereka akan laksanakan arahan itu dengan sebaiknya. Mereka ini adalah golongan yang sangat berdisipin dalam menyiapkan sesuatu urusan. Namun, mereka ini adalah golongan yang tidak memikirkan sangat idea-idea futuristik. Apa yang mereka tahu, mereka akan siapkan kerja yang diberikan kepada mereka. Gerakan mahasiswa tidak akan berkembang dan maju apabila semua orang dalam gerakan adalah Worker. Hal ini terjadi kerana tidak ada idea-idea baru yang hendak diimplimentasikan dan apabila ada masalah, kurang penyelesaian akan dicapai.

Mereka yang bergelar Manager, adalah mereka yang boleh menguruskan gerakan. Contohnya urusan surat menyurat gerakan, susun atur jadual program gerakan, urus tadbir gerakan dan sebagainya. Manager adalah mereka yang boleh memastikan gerakan tidak kucar dan sentiasa terurus.

Ketiga-tiga posisi ini perlu berada dalam keseimbangan dan setiap ahli gerakan mahasiswa perlu memahami posisi-posisi berkenaan. Kecundangan gerakan mahasiswa yang paling utama adalah akibat daripada tidak ada pemahaman dan juga kesefahaman antara ahli tidak tercapai. Semoga tulisan ini dapat memberi faedah kepada mereka yang sedang dan akan mengemudi gerakan mahasiswa.

Mohammad Shafiq Bin Abdul Aziz

Mshafiqaziz@yahoo.com

https://shafiqaziz.wordpress.com

Advertisements