Penulisan saya pada kali ini adalah berkenaan dengan Demokrasi. Perkataan demokrasi ini sudah pasti tidak asing lagi bagi kita kerana sentiasa dibincangkan,dibahaskan,dihebahkan, dan pelbagai lagi liputan berkenaannya.. Saya tidak mahu mengulas secara terperinci tentang asal –usul demokrasi ini. Kerana saya yakin dan percaya bahawa sudah ramai yang mengupas isu demokrasi ini secara terperinci dalam penulisan-penulisan mereka. Namun apa yang menarik hati saya untuk menulisnya apabila terdapat artikulasi yang mempertikaikan demokrasi ini secara dasarnya. Penulisan ini lebih kepada pertikaian demokrasi dan bagaimana Islam menghadapinya.

Saya telah mendengar satu hujah daripada seorang ilmuan negara kita yang mengatakan bahawa [1]demokrasi ini adalah bid’ah baru bagi umat Islam. Asas penghujahannya adalah kerana prinsip demokrasi ini hanya muncul pada ratusan tahun yang lepas dan prinsip ini telah diperkenal dan dicanangkan oleh tamadun barat. Sedangkan kita tahu, kegemilangan tamadun Islam ribuan tahun lepas yakni zaman yang terkenal dengan ketinggian ilmu pengetahuan dan kecanggihan sains dan teknologi bukan daripada zaman demokrasi ini. Oleh itu, demokrasi tidak boleh sama sekali dianggap suci dalam menyelesaikan sesuatu perkara yang kita sedang hadapi.

Namun apakah pilihan yang kita ada dalam kekabusan demokrasi yang menyelubungi keseluruhan manusia pada abad ini? Hampir segala urusan sesama kita dikaitkan dengan demokrasi. Sedangkan kita tahu demokrasi ini adalah acuan barat yang kita tentangi? Alhamdulillah, sewaktu berada di Ijtimak Harakiy ke 2 dan Seminar Siyasah Shar’iyyah,PKPIM,ABIM, dan WADAH .Saya telah mendapat jawapannya. Jawapan dan penjelasan yang dibuat oleh Dato Dr Siddiq Fadzil ini mampu untuk menjawab beberapa kekaburan demokrasi yang sedang kita lalui sebagai umat Islam.

[2] Antara perkembangan di Dunia Islam yang sedang mendapat sorotan luas ketika ini ialah kebangkitan Islam sebagai kekuatan politik, dan keghairahan terhadap demokrasi. Yang jelas, Islam dan demokrasi telah menjadi isu yang dominan dalam wacana politik pasca Thawarat al-Shabab(Revolusi Pemuda) di Asia Barat. Ramalan bahawa rantau tersebut akan menjadi lebih Islamik dan sekaligus lebih demokratik telah mencipta sesuatu scenario keserasian Islam dengan demokrasi, suatu yang mungkin tidak tergambar dalam pemikiran kaum sekularis yang selama ini mempersepsikan Islam sebagai promoter pemerintahan dictator-teokratik; malah mungkin tidak terbayang dalam benak golongan Muslim jumud yang melihat demokrasi sebagai suatu kekufuran.

Satu lagi perkembangan penting yang menjadi tumpuan perhatian dunia ialah kemunculan Recep Tayyip Erdogan dan parti pimpinannya(AKP) di Turki. Kejayaannya memenangi pilihanraya umum sebanyak tiga kali berturut-turut dengan dukungan rakyat yang semakin meluas, di samping prestasi cemerlangnya dalam pelbagai bidang: ekonomi, politik dan diplomatik telah memberikan pencitraan baru terhadap Islam dan demokrasi. Adalah suatu yang sangat bererti apabila Turki disebut sebagai a working example of muslim democracy . Segala perkembangan tersebut memberikan harapan bahawa Islam akan lebih menyemarak dalam sistem demokrasi yang sihat, dan demikian pula demokrasi akan lebih subur dan segar di bawah pimpinan Muslim-demokrat, berbanding keadaanya ketika di bawah kekuasaan nasionalis-sekularis-autokrat.

Pada hakikatnya Islam dan demokrasi tidak semestinya bertentangan dan tidak juga semestinya bersesuaian. Sesuai atau tidaknya tergantung bagaimana kita mempersepsikan politik Islam dan bagaimana kita mendefinasikan demokrasi. Mungkin bentuk-bentuk tertentu politik Islam memang bertentangan dengan model-model demokrasi tertentu. Tetapi mengingat hakikat bahawa politik Islam tidak membeku pada sesuatu bentuk, sementara demokrasi juga tidak membeku pada suatu model, maka kemungkinan bertemunya Islam dengan demokrasi pada suatu titik keserasian adalah suatu yang mungkin.

Penerimaan terhadap demokrasi di kalangan ilmuan dan tokoh gerakan ilmuan Islam masa kini ternyata semakin meluas. Bagaimanapun ini tidak bererti mereka telah menerima model  demokrasi Barat sepenuhnya. Dr Yusuf al Qardhawiy adalah tokoh yang paling artikulatif menyuarakan dukungannya terhadap demokrasi, tetapi tetap kritis terhadap model demokrasi Barat yang terlalu liberal dan telah terlepas daripada kendali agama dan moral. Yang menjadi asas pijakan pembelaan al-Qardhawiy terhadap demokrasi bukan bentuk jelmaanya di Barat, tetapi jawhar al-dimuqratiyyah atau idea dasar demokrasi itu sendiri yang dinilainya selaras dengan Islam. [3]Apa yang disebutnya sebagai jawhar al-dimuqratiyyah itu beliau rumuskan, bahawa rakyatlah yang harus memilih sendiri pemerintah yang mereka senangi, bahawa rakyat tidak boleh dipaksa menerima pemerintah yang mereka tidak suka, atau sistem yang mereka tidak suka; bahawa rakyat berhak menilai(muhasabah) dan mengambil tindakan ke atas pemerintah apabila bersalah; bahawa rakyat berhak memecat atau menggantikan mereka apabila menyeleweng.

Demikianlah antara idea-idea teras faham demokrasi yang untuk merealisasikannya terciptalah sejumlah sistem dan mekanisme pelaksanaanya seperti pilihan raya, pungutan suara, pengiktirafan keputusan terbanyak, pelaksanaan sistem pelbagai parti politik(ta’addud al-ahzab al-siyasiyyah), hak membangkang atau beroposisi(haqq al-mu’aradah) bagi golongan minoriti, kebebasan akhbar,kebebasan kehakiman dan seterusnya. Namun, [4]manifestasi adab dalam demokrasi ini adalah amat diutamakan supaya keamanan dalam kehidupan dapat dikekalkan.

Semoga buah idea daripada ilmuan-ilmuan islam ini dapat memberi pemahaman kepada kalian semua. Wallahualam.


[1] Prof Madya Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid. Wacana: Generasi Muda dan Demokrasi di Malaysia.USM

[2] Dato’ Dr Siddiq Fadzil, Islam dan Demokrasi.Ucaptama Ijtimak Harakiy Kedua & Seminar Siyasah Shar’iyyah PKPIM,ABIM dan WADAH

[3] Al-Qaradawiy,Yusuf.2010. Al-Watan wa al-Muwatanah.Kaherah:Dar al-Shuruq

[4] Naquib al-Attas. The De-westernization of knowledge.

Advertisements