Refleksi Setelah Sebulan Menjadi “YB” Mahasiswa Universiti

31 Oktober 2012, lebih kurang sebulan ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar menjadi “YB” mahasiswa di universiti masing-masing. Jika kita imbau kembali sebulan yang lepas, suasana pilihan raya kampus begitu rancak dengan kempen-kempen calon, poster-poster calon, manifesto-manifesto calon, isu-isu kampus, himpunan-himpunan, rapat umum, pidato calon dan sebagainya. Kemeriahannya dirasai oleh mahasiswa seluruh negara. Ditambah pula dengan liputan yang meluas daripada arus media massa. Suasana politik kampus menjadi begitu hangat dan mendapat sambutan daripada pelbagai pihak.Namun itu sebulan yang lepas, bagaimana pula selepas sebulan “YB-YB” ini memenangi pilihanraya kampus? Saya yakin dan percaya bahawa “YB-YB” mahasiswa ini telah membuat perancangan yang menyeluruh untuk pengundi-pengundi mereka. Sebagai mantan pimpinan tertinggi mahasiswa, saya sentiasa optimis dengan kemampuan “YB-YB” yang baru dipilih oleh mahasiswa ini.

“Saya yakin dan percaya bahawa “YB-YB” mahasiswa ini telah membuat perancangan yang menyeluruh untuk pengundi-pengundi mereka..”

Penulisan saya kali ini hanyalah untuk memuaskan kehendak ingin berkongsi ilmu dan pengalaman yang saya peroleh sewaktu saya menjadi Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar USM dan Setiausaha Agung Jemaah YDP-YDP MPP Nasional satu ketika dahulu. Penulisan ini bukanlah bertujuan untuk mencari salah sesiapa atau menyinggung mana-mana pihak. Saya Cuma ingin berkongsi pengalaman bersama-sama adik-adik yang akan menghadapi cabaran dan pengalaman manis ketika bergelar “YB” mahasiswa. Dalam tempoh setahun atau lebih menjadi Ahli Majlis Perwakilan Pelajar ini adalah tempoh masa yang paling berharga dan singkat untuk kalian cetuskan perubahan yang mampu menjentik mahasiswa untuk bergerak menuju kejayaan.

“ Tempoh setahun atau lebih menjadi Ahli Majlis Perwakilan Pelajar ini adalah tempoh masa yang paling berharga dan singkat untuk kalian cetuskan perubahan..”

Sebagai “YB” mahasiswa, anda dipersilakan untuk berfikir dan merancang pelbagai perkara untuk kebaikan mahasiswa. Kalian boleh berfikir dan melontarkan idea setinggi langit untuk kepentingan mahasiswa. Bagi saya, idea-idea setinggi langit ini walaupun mungkin akan dipandang sinis sebenarnya akan menjadi realiti, cuma masa dan takdir yang akan menentukan. Orang pernah memandang sinis dan mengutuk Wright Brothers kerana mahu cipta kapal terbang. Akhirnya sekarang kita sudah mampu menaiki kapal terbang malahan kita  juga sudah mampu sampai ke angkasa raya hasil daripada idea-idea setinggi langit itu satu ketika dahulu. Saya yakin dan percaya kalian sudah mempunyai pelbagai idea untuk melakukan perubahan. Adalah lebih baik jika idea-idea untuk melakukan perubahan itu disulami dengan perancangan yang berpijak pada bumi yang utuh.

“ Berfikirlah hingga ke langit ketujuh namun pelaksanaan perlu teguh di bumi utuh..”

Perancangan yang berpijak pada bumi yang utuh ini perlu digabung jalinkan dengan perancangan yang menyeluruh serta komitmen daripada semua “YB” yang dipilih oleh mahasiswa. Jika tidak ada dua gabungan ini, maka kalian hanya mempunyai angan-angan yang menjadi khayalan semata-mata.

Sepanjang pemerhatian saya, selalunya pada awal tempoh menjadi “YB mahasiswa”. Kalian akan membuat perancangan yang menyeluruh. Perancangan setengah tahun, perancangan tahunan, perancangan jangka masa panjang, perancangan jangka masa pendek dan sebagainya. Dalam aspek peracangan ini. Kalian perlu untuk menitik beratkan semua aspek. Terma-terma yang biasa perlu kalian terapkan dalam perancangan misalnya SWOT analysis, canvas strategy, strategic planning, Standard Operational Procedure(SOP) dan banyak lagi. Terma-terma ini amat penting untuk kalian perincikan perancangan kalian demi mahasiswa. Apa yang berlaku jika perancangan anda lemah? Pertama, kalian akan hilang arah kemana hala tuju sebenar yang hendak dibawa. Kedua, kalian akan syok sendiri sahaja bersama-sama “YB mahasiswa yang lain”. Ketiga, gerakan kalian tidak berganjak kemana-mana dan lebih teruk jika gerakankalian kian runtuh.

“ Jika kalian gagal merancang, maka kalian sedang merancang untuk  kegagalan”

Aspek yang tidak kurang pentingnya dalam memahami selok belok kepimpinan mahasiswa ini adalah mengenal pasti keupayaan dan kecekapan rakan sepasukan kalian dalam gerakan. Jika ketua tidak dapat mengenal pasti competency rakan-rakan pimpinannya. Maka ketidakseimbangan posisi akan berlaku. Antaranya, bergaduh sesama ahli gerakan. Si A kata si B tidak buat kerja, si C kata si D banyak cakap tapi kerja tidak buat. Si E pula kata “aku je yang buat kerja dalam projek ini”. Lama-kelamaan Majlis Perwakilan Pelajar ini akan menjadi tegang dan penuh dengan konflik dalaman. Keindahan dan keseronokan dalam gerakan akan bertukar menjadi mimpi ngeri dan sengsara yang berpanjangan. Ini adalah contoh kecundangan organisasi pada peringkat dalaman.

“Si A kata si B tidak buat kerja, si C kata si D banyak cakap tapi kerja tidak buat. Si E pula kata “aku je yang buat kerja dalam projek ini”

Akar kepada masalah-masalah ini adalah ketidakseimbanagan posisi dan juga pemahaman posisi sesorang dalam gerakan kalian. Dalam gerakan yang ideal. Perlu ada tiga posisi. Yakni Stategist, Manager , dan Worker.Posisi Strategist ini selalunya akan diambil oleh mereka yang banyak berfikir dan boleh menjangkau idea-idea yang bersifat futuristik kepada gerakan. Dalam erti kata lain, mereka yang bergelar strategist ini akan mempunyai idea-idea bernas untuk dikongsikan dalam gerakan. Selalunya, mereka yang bergelar strategist  juga akan banyak memberikan penyelesaian-penyelesaian kepada masalah yang dihadapi, mereka juga nampak peluang-peluang yang baik untuk memajukan gerakan dan sebagainya. Namun, ketidakseimbangan dan kecundangan akan berlaku jika semua orang dalam gerakan mahu menjadi Strategist. Dimana semua orang dalam gerakan hanya boleh memberikan pandangan dan idea sahaja namun tidak mampu untuk melaksanakan idea-idea itu. Lagi menyedihkan jika keseluruhan masa hanya tertumpu untuk berbahas dan bergaduh tentang idea-idea sahaja. Tetapi jika tidak ada posisi Strategist maka gerakan kalian akan mundur dan tidak mampu mengharungi perubahan-perubahan sekeliling yang memerlukan pembaharuan.

“Jika tidak ada posisi Strategist maka gerakan kalian akan mundur dan tidak mampu mengharungi perubahan-perubahan..”

Mereka yang bergelar Worker adalah mereka yang bekerja untuk melaksanakan idea-idea yang diberikan oleh Strategist. Selalunya Worker adalah mahasiswa yang hanya menerima arahan dan mereka akan laksanakan arahan itu dengan sebaiknya. Mereka ini adalah golongan yang sangat berdisipin dalam menyiapkan sesuatu urusan. Namun, mereka ini adalah golongan yang tidak memikirkan sangat idea-idea futuristik. Apa yang mereka tahu, mereka akan siapkan kerja yang diberikan kepada mereka. Gerakan kalian tidak akan berkembang dan maju apabila semua orang dalam gerakan adalah Worker. Hal ini terjadi kerana tidak ada idea-idea baru yang hendak diimplimentasikan dan apabila ada masalah, kurang penyelesaian akan dicapai.

Mereka yang bergelar Manager, adalah mereka yang boleh menguruskan gerakan. Contohnya urusan surat menyurat gerakan, susun atur jadual program gerakan, urus tadbir gerakan dan sebagainya. Manager adalah mereka yang boleh memastikan gerakan tidak kucar dan sentiasa terurus.Ketiga-tiga posisi ini perlu berada dalam keseimbangan dan setiap ahli gerakan kalian perlu memahami posisi-posisi berkenaan. Salah satu factor kecundangan sesuatu gerakan adalah akibat daripada tidak ada pemahaman dan juga kesefahaman antara ahli gerakan. Akhirnya janji-janji yang ditaburi hanyalah tinggal janji.

Semoga tulisan ini dapat memberi faedah kepada mereka yang sedang mengemudi gerakan Ahli Majlis Perwakilan Pelajar. Semoga pengalaman yang secebis ini mampu menjentik hati-hati pemimpin mahasiswa yang mampu menggegarkan dunia.

Mohammad Shafiq Bin Abdul Aziz

Mshafiqaziz@yahoo.com

https://shafiqaziz.wordpress.com

FB: Mohammad Shafiq Kedua

 

 

 

Advertisements